Tuesday 24 January 2012

Ego Si Bajet Bagus.



Bajet Bagus adalah istilah moden yang popular digunakan kini bagi mengantikan perkataan Ujub. Ujub ertinya berasa takjub dengan diri sendiri. Penyakit ujub ini akan membuat hati si bajet bagus akan merasakan dirinya lebih hebat dari orang lain dan suka bermegah-megah dengan percakapannya.

Seperkara yang amat malang bagi si bajet bagus ini adalah merasakan dirinya serba bagus, penting, bijak dan hebat, hatta tidak memerlukan lagi pandangan dan orang lain dan menganggap pendapat orang semuanya lemah dan buruk. Itu adalah sifat-sifat yang lebih terperinci bagi pengkelasan si bajet bagus.

Sebenarnya si bajet bagus ini tidaklah sehebat yang disangkakan kerana ia hanya dibuai dan dihanyutkan oleh perasaannya yang syok sendiri. Tidak menjadi bekas kepada orang lain melainkan perasaan meluat dan menyampah apabila berbual dengannya.

Apabila si bajet bagus ini menganggap dirinya super hebat, dia akan menjerumuskan dirinya kepada penyakit riyak dan akan lebih kronik lagi adalah sifat takabbur iaitu kemuncak keburukan akhlak mana-mana makhluk.

Seseorang yang merasakan dirinya bagus,sebenarnya telah menjatuhkan dirinya ke dalam lubang yang amat bahaya, Hindari dan jauhkan dari ketiga-tiga sifat yang keji ini ,iaitu ujub, riyak dan takabbur. Menerima pakej tiga serangkai ini menbolehkan diri anda terjerumus ke dalam Neraka.

No comments:

Post a Comment