Tuesday 24 January 2012

BICARA SOAL HATI.

Tak kenal maka tak cinta, dari mata turun ke lubuk hati. Begitulah ungkapan ayat cinta yang dizahirkan dari hati. Benar setiap apa pun yang dilihat, dilafaz mahupun dilakukan akan melalui prosesnya di hati. Hati akan menilai terlebih dahulu akan baik buruknya setiap tindakan.

Hati memainkan peranan penting membentuk jiwa manusia Ada manusia mempunyai hati yang lurus dan tidak kurang juga ada yang mempunyai hati yang keras. Lurus atau kerasnya hati manusia itu adalah kerana amalannya sendiri.

Hati merupakan tapak semaian bagi iman seseorang. Tempat dimana akan bertunas dan bercambahnya ke seluruh anggota badan. Jika yang ditanam itu benih yang baik maka akan terbitlah jiwa dan sanubari yang mencintai setiap yang baik dan membenci setiap yang tidak baik.

Kadangkala mulut dan anggota badan tidak sekata dengan kehendak hati. Namun manusia tiada daya untuk menempelak soal hati. Hati tidak boleh berbohong. Oleh sebab itulah hati manusia adalah tempat pandangan Allah swt. yang utama. Hati manusia juga adalah tempat yang telah dipilih oleh Allah swt. sebagai wadah ataupun bekas kepada fitrah, akal dan hikmah. Oleh itu hati sanubari adalah sentiasa jujur dan benar walaupun terkadang mulut pandai berbohong dan tangan berani mengambil sesuatu yang haram.

Hati manusia pula adalah raja bagi seluruh anggota badan. Ia merupakan sumber pergerakan dan tindakan, maka apabila hati itu baik akan baiklah seluruh anggota badan dan apabila hati itu rosak maka rosaklah seluruh anggota badan. Sesuai dengan sabda Rasullullah saw. dalam sebuah hadis yang bermaksud :

‘Ketahuilah bahawa di dalam jasad manusia ada seketul daging. Apabila ia baik maka baiklah jasad seluruhnya. apabila ia rosak, maka rosaklah jasad seluruhnya. Ketahuilah, seketul daging itu adalah hati’, (Riwayat Bukhari & Muslim.)

Maka hati yang baik akan menyuruh anggota badannya berbuat kebaikan dan sebaliknya hati yang rosak akan menyuruh anggota badan berbuat kerosakan dan kemaksiatan.

Pada mulanya hati setiap insan adalah suci dan baik. Diciptakan oleh Allah swt. dengan suci sebersih-bersihnya dari segala kemaksiatan, Namun yang mencorakkan adalah manusia itu sendiri. Hati seseorang telah diciptakan oleh Allah swt. menerusi fitrah manusia yang semulajadi yang meminati dan mencintai setiap kebaikan.

Untuk mencapai maksud fitrah suci tersebut, Allah swt. telah menyempurnakan pemberianNya dengan mengutuskan Rasulullah saw. untuk membimbing manusia ke jalan kebenaran dan juga Allah swt. telah menurunkan Al-Quran untuk dijadikan pegangan dalam hidup di dunia dan akhirat nanti. Maka apabila manusia mengikuti jalan yang ditunjukkan oleh Rasulullah saw. dan berpegang teguh dengan Al-Quran yang diturunkan, mereka akan dapat memperolehi petunjuk yang akan membawa mereka mencapai keredhaan Allah swt. dan terhindar daripada jalan kesesatan yang dimurkaiNya.

Tetapi manusia ini ada musuh yang sangat pandai dan sangat mendendam kepadanya, iaitu Iblis yang bersumpah di hadapan Allah swt. Sumpahan adalah untuk menyesatkan setiap anak Adam dan membawa bersamanya ke dalam neraka jahanam. Iblis selalu mengoda hati manusia dan ia berusaha untuk membalut fitrah suci yang ada di hati manusia dengan balutan daripada hawa nafsu, syahwat, ego, sombong, tamak, riyak, takabbur, cinta akan dunia dan sebagainya.

Iblis tidak akan berputus asa dari mencapai matlamat yang telah disumpahkannya di hadapah Allah swt. itu. Ia akan berbuat sesuatu yang dapat memesongkan hati manusia dari matlamat hidup yang sebenar. Maka apabila Iblis masuk ke dalam hati manusia, ia akan membisikkan kepadanya suatu kesenangan atau kebahagian dunia ini, lalu ia merebut setiap peluang yang ada. Sedikit demi sedikit ditiupkannya semangat nafsu dan syahwat yang telah sedia ada di hati manusia sebagai kesempurnaan fitrahnya.

Seterusnya apabila hati manusia telah tergoda dan matanya telah tertutup bayangan kelazatan hawa nafsu dan syahwat, maka ketika itulah manusia akan melupakan Tuhannya sehingga ia berani berbuat maksiat yang mengakibatkan satu titik hitam telah timbul di lembaran suci bersih yang ada di hati manusia.

Selanjutnya apabila keadaan ini dibiarkan, kotoran yang mendap di hati tidak dibersihkan, titik hitam yang mengotori hati yang suci tidak dicuci dengan air mata taubat, maka hati yang telah tergores dengan titik hitam akan bertambah hitam, sehingga maksiat demi maksiat yang dilakukan akan menebalkan lagi tompok hitam dan memudahkan lagi Iblis menguasainya.

Maka apabila hati yang sudah ditawan oleh Iblis, hati akan kurang membenci kemaksiatan bahkan terkadang merasa keseronokan dengan berbuat maksiat dan akhirnya apabila ia akan berasa berbangga dengan bermacam-macam kemaksiatan yang dilakukan. Hati yang telah sampai ke peringkat ini bermakna ia sudah terlalu sakit dan sangat susah untuk diubati. Lembaran suci bersih itu tadi telah menjadi hitam legam dan amat sukar untuk dibersihkan. Hati yang seperti inilah yang dinamakan hati yang keras, hati yang tidak sensitif dengan dosa walaupun sebenar ia melakukan dosa yang besar.

Dan hati yang seperti inilah hati yang telah termeterai dengan maksiat, hati yang telah tertutup dengan selaput hawa nafsu, syahwat dan berbagai-bagai lagi, sehinggakan hati yang seperti ini sangat susah menerima nasihat dan teguran daripada orang lain, seperti yang telah disebut dalam sebuah hadis Rasulullah saw. yang bermaksud:

‘ Sesungguhnya seseorang hamba apabila ia melakukan suatu kesalahan maka akan digoreskan dalam hatinya satu titik hitam; maka apabila ia menarik diri (dari kemaksiatan iu) dan terus beristighfar dan bertaubat (kepada Allah swt) hatinya akan kembali suci bersih. Tetapi apabila ia kembali melakukan kesalahan itu maka titik hitam itu akan bertambah(di dalam hatinya) sehingga sampailah titik hitam itu memenuhi segala permukaan hatinya. Dan inilah yang dinamakan ‘Ar-Raan’ ataupun karat di hati’. ( hadis riwayat Termizi)

Hati yang sakit teruk sangat susah untuk diubati, samalah halnya dengan penyakit yang sudah terlalu teruk. Maka sangat susah untuk dirawat dan diubati. Namum peluang untuk merawat masih ada. Pintu taubat masih lagi terbuka untuk menerima sesiapa sahaja yang benar-benar mengharapkan keampunanNya.

Oleh itu marilah kita bermuhasabah hati kita masing-masing. Apakah ia sihat ataukah ia berpenyakit? Selama ini apakah hati kita telah dihiasi dengan roh keimanan, tempat di mana iman bertapak dengan kukuh dan mantap. Apakah hati kita selalu mendorong untuk kita berbuat kebaikan? Atau apakah hati kita menjadi istana Iblis dan syaitan yang bermaharajalela mendorong untuk melakukan dosa dan kemaksiatan.

Tepuk dada tanyalah hati dan iman kita…
sejauh manakah ketaatan kita kepada Allah swt…
sudahkah kita merancang untuk masa depan kita di akhirat nanti…
Sejauh manakah persiapan yang telah kita sediakan untuk menghadapi kematian yang bila-bila masa akan menemui kita….

Maka bersiaplah sebelum terlambat, dan bertaubatlah sebelum pintu taubat ditutup dan berusahalah mengubati hati dan membersihkan hati daripada sifat ‘Akhlak Mazmunah’ dan hiasilah hati dengan sifat-sifat ‘Akhlak Mahmudah’

No comments:

Post a Comment